Main Kempling  Logo Kempling Perkumpulan Kempling Parit Kassan

SEJARAH PERMAINAN KEMPLING PERALATAN PERMAINAN KEMPLING JAWATANKUASA PERKUMPULAN KEMPLING PARIT KASSAN KERATAN AKHBAR / RENCANA GALERI FOTO

DENGARKAN MUZIK KEMPLING PENGHARGAAN UNTUK KAMI PAUTAN KE LAMAN PILIHAN CORETKAN KUNJUNGAN ANDA DI SINI HUBUNGI KAMI

Sejarah Kempling sinjimalifraha

KEMPLING: SATU KESENIAN JAWA DI JOHOR

Oleh HAI ROZZAMAN JALAL

DALAM masyarakat majmuk di negara kita, pelbagai jenis kebudayaan dan kesenian ada pada masyarakat masing-masing.

   Kedatangan masyarakat Jawa ke tanah air kita terutamanya di selatan Semenanjung beberapa kurun yang lalu telah membawa banyak kesenian yang kini hampir dilupakan, dibawa oleh arus kemewahan teknologi moden.

       Banyak kesenian masyarakay Jawa seperti kuda kepang, wayang kulit, ketoprak, barongan, pencak silat dan kempling hampir dilupakan oleh generasi baru kerana usaha-usaha untuk memeliharanya tiada.

       Kesenian itu sesetengahnya masih hidup lagi terutama di kampung-kampung yang dihuni oleh masyarakat Jawa di mana generasi tua masih ada.

        Kempling merupakan salah satu kesenian masyarakat Jawa yang telah wujud sejak dahulu lagi dan kini hampir dilupakan oleh masyarakat itu sendiri tanpa ada inisiatif untuk menghidupkannya agar tidak pupus dari ingatan generasi yang ada.

        Kesenian kempling ini pada kebiasaannya dipersembahkan di majlis-majlis keramaian seperti majlis berkhatan, perkahwinan, Maulidur Rasul, menyambut kelahiran bayi, potong jambul dan sebagainya.

        Pada dasarnya, kumpulan kempling ini ditubuhkan sebagai kesenian hiburan masyarakat Jawa kerana pada ketika itu tiada alat-alat hiburan seperti radio dan televisyen.

        Selain itu, dengan adanya kumpulan kempling di sesebuah kampung, masyarakatnya sama ada golongan tua atau muda dapat disatukan dan berkumpul mempelajari kesenian nenek moyang mereka.

        Permainan kempling ini mempunyai unsur-unsur keagamaan yang memuji-muji kebesaran Allah SWT dan Rasul-Nya, Nabi Muhammad SAW.

        Nazam atau lirik bagi permainan kempling ini berpandukan kepada berzanji atau rawi.

        Terdapat enam jenis alat permainan kempling yang mempunyai bunyi dan fungsi yang berlainan.

        Alat-alat itu ialah jidur, gendang, karon, kempling dan dua buah kempol. Kesemua alat-alat ini diperbuat dari kulit kambing manakala baluhnya daripada kayu.

        Kombinasi keenam-enam alatan kempling ini melahirkan satu bunyian yang indah dan menarik. Ada ketikanya, ia dapat didengar sehingga beberapa kilometer terutama pada waktu malam.

        Bagi memulakan permainan kempling ini, bacaan surah al-Fatihah dan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW dibaca terlebih dahulu. Kemudian barulah dimulakan berpandukan bab-bab yang terdapat di dalam berzanji.

        Sebenarnya permainan kempling tiada had masa yang tertentu tetapi ia memerlukan masa yang agak panjang bergantung kepada berapa lagu dan bab di dalam berzanji.

        Pada kebiasaannya, permainan kempling ini dimainkan pada waktu malam dan akan membawa ke pagi. Ia juga boleh dimainkan atau dipersembahkan pada waktu siang atau malam mengikut kehendak tuan rumah.

        Mereka akan bermain secara bergilir-gilir dan berjaga dari malam hingga ke pagi atau dipanggil "lek-lek'an" dalam bahasa Jawa.

        Apabila sesebuah lagu atau bab selesai dimainkan, ia akan diselangselikan dengan bacaan berzanji dan akan dimulakan semula apabila bacaan satu bab berzanji tamat.

        Tuan rumah akan menyediakan hidangan kuih-muih dan minuman bagi menghilangkan rasa mengantuk para pemain kempling.

        Permainan kempling ini akan ditamatkan dengan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW.

        Sebenarnya, kesenian kempling ini merupakan salah satu cara memuji-muji Nabi Muhammad SAW yang dilakukan oleh masyarakat Jawa dahulu berpandukan berzanji.

        Masyarakat dahulu yang tinggal di desa-desa menggunakan kesenian seumpama ini untuk memupuk semangat kerjasama dan muhibah sambil berbincang mengenai masalah yang dihadapi oleh penduduk kampung itu.

        Untuk itu, bagi memelihara kesenian tradisional ini agar ia terus wujud dan kekal sebagai kesenian warisan, generasi muda perlulah berusaha untuk mewarisinya.

        Pihak yang bertanggungjawab dalam bidang ini perlu sama-sama mengambil daya usaha tertentu demi kesinambungan kesenian tradisional ini supaya tidak luput dibawa arus kemodenan dan kebudayaan liar.

 

[Dipetik dari akhbar TRAS, Jumaat, 28 Jun 1996]                                                                        ^

           

 

KEMPELINGAN

 

KEMPELINGAN satu lagi kesenian yang diwarisi dari masyarakat Jawa oleh rakyat negeri Johor. Ia adalah sejenis permainan genderang mengiringi bacaan rawi yang diambil dari berzanji sama ada bacaannya dalam bahasa Arab (seperti dalam berzanji), bahasa Melayu (terjemahan) atau bahasa Jawa.

    Pada asasnya, peralatan Kemplingan terdiri daripada tiga jenis alat iaitu sebuah gendang, sebuah jidur dan empat buah kempeling yang bernada berlainan. Ada yang menamakannya sebagai kempeling, tempong, kempol dan piong. Namun pada masa ini, peralatan berkenaan sudah bertambah dengan sepasang markas dan sebuah tambrin hingga menjadikan permainan Kempelingan lebih rancak dan menarik.

    Rangka alat Kempelingan ini diperbuat daripada pungka (pangkal) batang kelapa, batang cempedak, leban atau durian mengikut kesesuaiannya.

    Kawasan yang terdapat kumpulan Kempelingan ini kebanyakannya di daerah Batu Pahat dan Muar. Pemainnya terdiri daripada 10 hingga 20 orang dan ada juga kumpulan pemainnya mempunyai 23 orang.

    Selain daripada memain alat Kempelingan sebahagiannya adalah pembaca rawi atau nazam berzanji. Masing-masing boleh bergilir ganti serta permainan itu sering diadakan untuk memeriahkan majlis keagamaan seperti di majlis kesyukuran, perkahwinan, potong jambul dan berkhatan.

    Ia juga berperanan seperti kompang untuk mengiringi perarakan pengantin.

 

[Dipetik dari Kuiz Warisan Johor (30), Berita Minggu & Yayasan Warisan Johor, 2000]      ^

 

 

KUMPULAN KEMPELINGAN TERTUA

 

 

KUMPULAN Kempelingan tertua di negeri Johor ialah Kumpulan Kempelingan Kampung Parit Simpan, Senggarang, Batu Pahat.

    Ia ditubuhkan pada tahun 1924 oleh Wak Taib, tokoh kempelingan yang berasal dari Jawa.

    Apabila kumpulan berkenaan tidak bergiat selama beberapa tahun kemudiannya ia dipugar kembali oleh Saniman (ketua) dan Haji Marhaban (penolong) dalam tahun 1930.

    Selepas itu Haji Marhaban Kasto (tokoh kesenian Kemplingan Johor) terus mengasuh dan memimpin hingga menjadikan beliau adalah orang yang bertanggungjawab terhadap pembangunan kumpulan berkenaan.

    Peralatan yang digunakan oleh kumpulan ini adalah alat-alat yang berasas sahaja iaitu sebuah jidur, sebuah gendang dan empat buah kempelingan yang berlainan nada. Alat yang terpenting dalam permainan kempelingan ialah jidur.

    Permainan ini sebenarnya mengiringi bacaan rawi dan nazam berzanji yang dilagukan. Ia dibuat dalam bahasa Arab atau terjemahan ke bahasa Melayu.

    Bacaannya dikepalai oleh seorang ketua sebagai pelagu solo diiringi empat hingga lima orang pembaca lain sebagai suara latarnya.

    Sekurang-kurangnya 18 lagu dapat dimainkan oleh kumpulan ini dalam satu-satu persembahan.

    Kumpulan Kempelingan ini mempunyai 23 orang ahli dan pernah membuat persembahan di luar negeri seperti di Pesta Kesenian Islam Berlin, Jerman.

    Pada tahun 1986, mereka sekali lagi dijemput membuat persembahan di Perancis, Belanda dan Itali.

 

[Dipetik dari Kuiz Warisan Johor (31), Berita Minggu & Yayasan Warisan Johor, 2000]      ^

 

 

KEMPELINGAN DI PARIT SULONG

 

PARIT Sulong sebuah pekan kecil terletak di antara Muar (Bandar Maharani) - Yong Peng dan Batu Pahat (Bandar Penggaram).

    Untuk ke pekan berkenaan dari arah Batu Pahat ia boleh dilalui menerusi Jalan Parit Jalil atau Jalan Simpang Lima.

    Dengan memalui Jalan Simpang Lima, kita akan melintasi Kampung Parit Lapis Maimon di mana sebuah kumpulan kempelingan boleh didapati.

    Kumpulan itu ditubuhkan sebelum merdeka (1955) dan tenaga pengajarnya yang pertama ialah Jaafar Sulaiman.

    Kemudiannya ia dipimpin oleh Sulam Husain, Tusin Salamon dan Kasmi Othman.

    Selain daripada membuat persembahan lagu-lagu rawi dan nazam berzanji dalam bahasa Arab, kumpulan berkenaan juga boleh membuat persembahan dalam bahasa Jawa.

    Ini menyebabkan ia banyak mendapat jemputan bermain terutama di malam-malam rewang (gotong royong membuat persiapan jamuan) untuk majlis kenduri atau walimah pada hari keesokannya.

    sekurang-kurangnya empat hingga lima lagu dapat dipersembahkan dalam sekali permainan.

    Peralatan kempelingan untuk kumpulan itu dibuat sendiri oleh seorang penduduk tempatan, Shahan Sharif yang amat berpengalaman menukangi alat-alat berkenaan.

    Jidurnya diperbuat daripada pangkal batang kelapa manakala gendang-gendang yang lain (gendang, kempelingan, tepung, kempol dan piong) diperbuat daripada batang cempedak.

    Usaha membuat alat-alat berkenaan memakan waktu yang agak lama sehingga setengah tahun.

 

[Dipetik dari Kuiz Warisan Johor (32), Berita Minggu & Yayasan Warisan Johor, 2000]      ^

 

 

KUMPULAN KEMPELINGAN DI MUAR

 

SEKITAR daerah Muar, Johor terdapat beberapa kumpulan kempelingan seperti di Kampung Parit Kemang, Parit Kasan, Parit Gani, Melayu Raya, Parit Satu dan Parit Dua Sagil.

    Di Kampung Parit Kasan, kumpulan kempelingan ini disebut sebagai perkumpulan 'kempeling' sahaja, pada hal 'kempeling' itu adalah satu daripada alat yang digunakan.

    Kumpulan itu diketuai oleh Wahid Rebin dengan jurulatihnya Haji Tamyiz Alias.

    Pada tahun ini, kumpulan berkenaan tersenarai dalam Projek Pemuliharaan Kesenian Kemplingan Johor.

    Peralatan yang digunakan terdiri daripada enam jenis alat tabuhan iaitu jidur, gendang, kempeling, karon dan dua buah kempol.

    Karon memainkan nada untuk meningkah tiga peralatan lain: kempeling dan dua buah kempol.

    Kombinasi keenam-enam peralatan ini dapat melahirkan irama yang sungguh menarik untuk mengiringi bacaan rawi atau nazam petikan daripada berzanji.

    Sebenarnya, untuk mempelajari kesenian kempelingan ini memakan waktu yang agak panjang kerana setiap pemain diperlukan untuk menghayati rentak irama, kaedah menabuh dan cara memasukkan lagu nazam atau bacaan rawi.

    Seperti halnya, bermain kompang, kompang jidur atau mana-mana genderang, kemasukan nada tingkah yang tidak tepat akan merosakkan irama lagu yang dimainkan.

    Bagi seseorang ketua kumpulan, peningkahan nada alat-alat permainan inilah yang sangat diperhatikan.

 

[Dipetik dari Kuiz Warisan Johor (33), Berita Minggu & Yayasan Warisan Johor, 13 OGOS 2000]                 ^